Tuesday, October 16, 2007
posted by syahrul at 8:20:00 PM | Permalink
Cerpen : GILIRAN BALIK RAYA.
Nurul sibuk memilih kain tudung untuk ibunya. Tahun ini dia bercadang hendak pulang berhari raya di kampungnya. Sudah lima tahun dia tidak dapat menyambut Hari Raya bersama keluarganya. Sejak dia berkahwin dengan Borhan, sejak itu jugalah dia terpaksa berhari raya bersama keluarga Borhan. Bukan dia tak suka tetapi sepatutnya dia juga diberi peluang untuk berhari raya dengan keluarganya. Seperti mana dia memberi peluang pada Borhan untuk berhari raya dengan keluarganya.
Selepas menunaikan tarawih berjemaah dengan Borhan. Nurul duduk menghadap suaminya. Borhan memandang Nurul tidak berkelip. Nurul masih lagi bertelekung. Nurul menyentuh lembut tangan Borhan. Nurul melemparkan senyuman. Matanya merenung mata Borhan. Borhan kehairanan.
“ Kenapa dengan Nurul ni, lain macam aja.” Borhan melipat sejadah. Nurul tersenyum lagi.
“ Siang tadi Nurul pergi shopping…Nurul ada beli kain tudung dan songkok untuk ibu dan ayah Nurul di kampong.” Nurul diam seketika . Bimbang juga di hati kalau-kalau Borhan tak setuju dengan cadangannya nanti.
“ Baguslah….anak-anak kena ingt pada orang tuanya.” Kata Borhan dan bingkas bangun. Nurul menarik tangan Borhan. Borhan duduk semula.
“ Tahun ni kita beraya di kampung Nurul kan.?” Tanya Nurul ingin kepastian.
“ Apa.......? kampung awak.?” Borhan sedikit terkejut.
“ Kenapa.?” Soal Nurul.
“ Tahun ni kita balik beraya di kampong abang juga.macam tahun-tahun lepas.” Borhan bangun semula dan berjalan ke ruang tamu. Nurul membuka telekungnya dan mengikut Borhan ke ruang tamu.
“ Jadi tahun ni kita beraya di kampung bapa abang jugalah.?” Nurul separuh menjerit. Borhan mengangguk perlahan. Nurul menjegilkan mata. Dia mengeluh.
“ Tapi bang ! Nurul tak setuju, abang buat keputusan tanpa berbincang dengan dengan Nurul.” Kata Nurul keras. Borhan tercengang.
“ Kenapa pula.? Macam biasalah, abang kena berhari raya dengan keluarga abang…Nurul kena ikut cakap abang, jangan pandai-pandai nak membantah…” Borhan bertegas.
“ Kalau abang ada keluarga, Nurul juga ada keluarga bang……kalau abang ada keinginan dan perasaan untuk bersama kelurga abang di pagi raya, begitu juga Nurul……cubalah bertolak ansur sikit bang, dah lima tahun Nurul berhari raya dengan keluarga abang, tapi abang sekalipun belum pernah berhari raya dengan keluarga Nurul, cubalah faham bang.”
“ Tak boleh….sebagai anak lelaki, abang kena lebihkan orang tua abang, sebagai istei, Nurul kena patuh pada abang…..keputusan abang muktamad…”
“ Kalau begitu, Nurul juga ada ketegasan dan keputusan Nurul juga muktamad...Nurul akan pulang ke kampung Nurul.” Nurul meninggalkan Borhan terpinga-pinga sendiri. Hati Nurul sakit. Borhan tak sepatutnya buat dia begini. Borhan sepatutnya memberinya peluang untuk berhari raya dengan keluarganya pula. Bukan dia tak sayangkan keluarga mentuanya atau tak suka berhari raya dengan mereka tapi dia ada keluarga dan dia juga ingin bersama mereka.
Nurul awal-awal lagi telah ke stesen keretapi untuk membeli tiket. Dia tak ambil peduli sama ada Borhan setuju atau tidak. Jika Borhan tak mahu balik dia akan balik seoran diri. Biarlah Borhan seorang yang balik ke kampung lamannya sendiri. Nurul takkan ikut. Dia tak sanggup lagi menyakiti hati keluarganya. Hari Raya Puasa tak balik, Hari Raya Haji jauh sekali. Borhan tak pernah dapat cuti panjang pada Hari Raya Haji. Nurul terpaksa memendam rasa atas perbuatan yang tegas tak kena pada tempatnya.
Jika selama ini dia bertolak ansur tapi sekarang tidak lagi. Cukuplah tempoh lima tahun itu, mana boleh tahan hanya dia sahaja yang bertolak ansur tapi Borhak tidak. Sepatutnya mereka bergilir-gilir menyambut Hari Raya bersama keluarga masing-masing bukan dengan hanya satu pihak sahaja.
“ Macam mana dengan keputusan awak.?” Tanya Borhan. Nurul menjeling.
“ Nurul tetap dengan keputusan Nurul, abang jangan paksa Nurul balik ke rumah mak bapa abang. Nurul takkan pergi.” Kata Nurul tegas. Borhan mencekak pinggang. Dia terkejut dengan keputusan Nurul. Selama lima tahun ini belum pernah Nurul membantah cakapnya. Tapi kali ini Nurul begitu berani.
“ Kenapa dengan awak ni…awak dah buang tabiat…?”
“ Ya…..saya buang tabiat..buang tabiat kerana awak, saya tetap dengan keputusan saya, ikut suka awaklah sama ada nak ikut atau tidak….” Nurul meninggalkan Borhan seorang diri. Malas dia nak bertengkar dengan Borhan. Semakin lama dilayan semakin berpanjangan jadinya nanti. Nurul masuk ke dalam bilik. Daun pintu dihempas dengan kuat. Dia benci dengan sikap Borhan yang tidak mahu bertolak ansur itu. Borhan hanya memikirkan dirinya seorang sahaja. Nurul mengeluh lagi.
Nurul tak mahu memujuk Borhan lagi. Borhan tetap dengan keputusannya. Dua hari lagi dia akan bertolak pulang ke kampong lamannya. Sengaja dia balik tiga hari lebih awal daripada tarikh Hari Raya. Dia ingin bersahur dan berpuasa dengan keluarganya. Abang dan kakak-kakaknya akan turut pulang berhari raya di kampung. Tahun ini giliran mereka berhari raya di kampong orang tuanya pula.
Nurul telah siap mengemas kain bajunya. Borhan pula masih belum balik dari tempat kerja biarpun sudah pukul 7.00 malam. Nurul mula gelisah. Bimbang tpula terjadi perkara yang tidak baik di jalan. Nurul beristighfar. Dia sempat mendoakan agar suaminya selamat di mana sahaja dia berada. Biarpun marah namun dia tetap sayangkan Borhan.
Juadah berbuka puasa telah siap terhidang. Borhan masih belum balik. Nurul cuba menelefon telefon bimbit Borhan, tapi tidak ada jawapan. Nurul mengetap bibir. Perang dingin seminggu yang lalu berlarutan sehingga ke hari ini. Nurul mengeluh. Selepas menunaikan solat Maghrib Nurul keluar rumah bersama beg pakaiannya. Nurul tahu berdosa keluar rumah tanpa izin suami. Tapi apa boleh buat. Borhan yang memaksa dia bertindak sejauh ini. Kalaulah Borhan bertolak ansur sudah tentu perkara begini tidak terjadi dan perang dingin pun tak berlaku.
Keretapi meluncur laju meninggalkan stesen. Nurul mengeluh. Dia gembira kerana dapat balik ke kampong tapi dalam masa yang sama dia juga kecewa kerana Borhan tidak turut bersama. Dia juga merasa bersalah kerana terpaksa menderhakai suami sendiri. Semoga Allah mengampunkan dosanya dan pagi-pagi raya nanti dia akan meminta maaf pada Borhan. Semoga Borhan sudi memaafkannya. Nurul mengeluh kerana berebut giliran Hari Raya, rumah tangganya kucar-kacir.Nurul beristighfar lagi. Entah apa alasan yang akan diberitahu pada keluarganya tentang ketidakhadiran Borhan bersamanya. Pening kepala memikirkannya.
Borhan tunduk memandang lantai. Sejak dia tiba tengah hari tadi kedua-dua orang tuanya asyik berleter. Kepulangannya tanpa Nurul membuatkan orang tuanya tak senang hati. Berbagai-bagi pertanyaan keluar dari mulut mereka. Beraneka nasihat diberi padannya. Borhan menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
“ Nurul tahu kau balik ni.?” Tanya Mak Limah.
Borhan menggelengkan kepala. Mak Limah dan Pak Mail saling berpandangan.
“ Bila dia bertolak balik ke kampungnya.?” Tanya Pak Mail pula. Borhan tunduk semula. Tak berani dia bertentang mata dengan orang tuanya yang sedang marah dan kecewa itu.
“ Dia yang degil.” Kata Borhan.
“ Kamu tu yang keras kepala.” Sampuk Pak Mail.
“ Hanya soal giliran balik beraya, kamu suami isteri bergaduh.?” Mak Limah memandang wajah Borhan tidak berkelip.
“ Ya mak.” Jawab Borhan pendek.
“ Borhan....Borhan..kenapalah jadi macam ni....tak ada perkara yang tidak boleh selesai, kenapa tak berbincang dulu tentang giliran nak balik ke mana.ada kamu tanya dia nak balik raya di mana.?” Mata Mak Limah masih lagi melekat di wajah Borhan.
“ Tak mak.”
“ Nurul pun ada emak dan ayah Borhan, macam Borhan juga, tentu Nurul juga ada keinginan macam Borhan nak sambut Hari Raya bersama orang tuanya...sepatutnya Borhan berlaku adil, bertolak ansur, lagi pun mak tengok dah lima tahun Borhan dan Nurul berhari raya bersama kami, apa salahnya tahun ni berhari raya bersama keluarga Nurul pula.” Leter Mak Limah. Borhan menyandar di kusyen.
“ Bukan Borhan tak pernah bawa dia balik ke kampungnya mak, selalu juga. Cuma tak balik masa Hari Raya, takkan itu pun nak berkira.”
“ Pulang ke kampung masa hari biasa berbeza balik waktu Hari Raya Borhan, suasananya berbeza, kemeriahannya juga berlainan....mak dan ayah tak mahu Nurul atau menantu mak dan ayah yang lain anggap kami mengongkong, rumah tangga kalau tidak diuruskan dengan baik, perkara kecil akan jadi besar, kalau perkara ini berlanjutan siapa yang susah.” Leter Pak Mail pula. Borhan mengeluh lagi. Kedua-dua insan yang disayangnya itu terus meleterinya.
“ Beginilah Borhan, tahun ni kau berhari rayalah dengan keluarga mentua kau, tahun depan kau boleh berhari raya di sini, mak dan ayah tak kisah, kami juga pernah jadi anak dan menantu, jadi kami faham perasaan anak-anak menantu kami. Janganlah risau, mak dan ayah takkan berkecil hati jika tahun ini kamu semua tak berhari raya di sini, tapi jangan sampai tak balik ke kampung........faham,” nasihat Mak Limah. Borhan mengangguk.
“ Sebagai ketua keluarga, Borhan harus bijak menangani apa sahaja masalah, jangan hanya kerana perkara yang remeh-temeh rumah tangga kamu tergugat, hanya fasal giliran balik kampung tak bercakap berhari-hari, seorang ke utara, seorang ke selatan. Rumah tangga apa namanya tu Borhan.” Pak Mail menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan.
“ Pergilah mandi, waktu berbuka dah dekat, asyik mengeluh pun bukan boleh menyelesaikan masalah,” Mak Limah berlalu ke dapur. Dia kecewa dengan perbuatan Borhan. Entah apa yang difikirkan oleh besannya apabila melihat Nurul pulang ke kampung seorang diri, naik keretapi pula tu. Mak Limah mengeluh. Mak Limah tidak mahu anak menantu memandang serong padanya. Dia sayang mereka semua. Dia tidak akan memaksa atau meminta mereka berhari raya dengannya. Anak menantunya juga ada mentua dan ibu ayah tentulah perasaan mereka juga sama seperti perasaannya jika anak menantu tak pulang berhari raya bertahun-tahun. Dia harap Nurul tak membencinya.
“ Esok pagi-pagi, balikkan ke rumah mentua kau Borhan, tentu Nurul juga risau tentang kau, gembirakanlah hati orang tua selagi mereka masih hidup, baik ibu bapa sendiri mahupun hanya mentua, mereka tetap ibu dan ayah kau juga, faham tu..” nasihat Pak Mail. Borhan mengangguk.
“ Maafkan saya ayah.....”
“ Bukan pada ayah kau mint amaaf..sepatutnya isteri kau, sudahlah, man ayang salah tu perbetulkan, sayangi keluarga mentua sebagai mana kau menyayangi mak dan ayah. Bila kita berlaku adil dan bertolak ansur, orang lain akan berlaku adil dan bertolak ansur dengan kita, ingat tu....” nasihat Pak Mail.
Borhan mengangguk lemah. Terasa bodoh sendiri. Kalaulah dia beralah tentu tak jadi begini. Kalaulah mentuanya tahu tentu malu jadinya. Borhan merasa kesal dengan kebodohan dan keegoaannya sendiri. Apa pun, pasti pagi-pagi esok dia akan pulang ke kampung mentuanya dan menyambut Hari Raya bersama isterinya yang tersayang. Semoga yang keruh dapat dijernihkan semula. Borhan tersenyum puas kerana mendapat emak dan ayah yang memahami kehidupan sebagai anak dan menantu.
Penulis : Asmah Hashim(my mother)
Telah Disiarkan di Majalah Wanita pada tahun 2003